Selamat datang ke laman blog saya..

Mari fahami apa itu Literasi..

1.0 DEFINISI LITERASI

Literasi didefinisikan sebagai keupayaan untuk membaca, menulis dan memahami perkataan, ayat tunggal dan ayat majmuk yang mudah dengan menggunakan kata hubung serta mengaplikasikan pengetahuan tersebut dalam pembelajaran dan komunikasi harian.


2.0 MATLAMAT


Matlamat program ini adalah untuk memastikan semua murid yang mengikuti Program LINUS berkeupayaan untuk menguasai literasi dalam Bahasa Malaysia dan numerasi kecuali murid berkeperluan khas selepas tiga tahun mengikuti Program LINUS.


3.0 OBJEKTIF


Objektif Program Literasi adalah untuk memastikan murid berupaya :


i.   membaca, mencerakin, membina dan menulis perkataan daripada suku kata terbuka dan tertutup;


ii.  membaca dan menulis perkataan yang mengandungi diftong dan vokal berganding;


iii. membaca dan menulis perkataan yang mengandungi digraf dan konsonan bergabung;


iv. membaca dan menulis perkataan yang berimbuhan awalan dan akhiran;


v.  membaca dan menulis serta memahami ayat tunggal dan ayat majmuk dengan menggunakan kata hubung seperti 'dan' , 'tetapi'  dan  'kerana' .

OBJEKTIF LITERASI TAHUN 2

 Pada akhir Tahun 2 murid berupaya:


i.   membaca perkataan yang mengandungi suku kata terbuka dan tertutup dan mencerakin perkataan kepada suku kata dan huruf dengan betul;
ii.  membina dan menulis perkataan yang mengandungi suku kata terbuka dan tertutup dengan betul serta tulisan yang kemas;
iii.  membaca, memahami perkataan yang mengandungi digraf, diftong dan mencerakin perkataan kepada suku kata dengan betul;
iv.  membina dan menulis perkataan yang mengandungi digraf dan diftong dengan betul serta tulisan yang kemas;
v.   membaca, memahami dan mencerakin perkataan yang mengandungi vokal berganding dan konsonan bergabung dengan betul;
vi.  membina dan menulis perkataan yang mengandungi vokal berganding dan konsonan bergabung dengan betul serta tulisan yang kemas;
vii. membaca, memahami dan mencerakin perkataan berimbuhan awalan dan akhiran dengan sebutan yang betul;
viii. menulis  perkataan berimbuhan awalan dan akhiran dengan betul serta tulisan yang kemas;
ix.  membaca dan memahami frasa dengan betul;
x.   membina dan menulis frasa dengan betul serta tulisan yang kemas;
xi.  membaca dan memahami ayat tunggal dan ayat majmuk dengan betul: dan
xii. membina dan menulis ayat tunggal dan ayat majmuk dengan betul serta tulisan yang kemas.

Apakah Organisasi Kandungan Literasi Tahun 2..

4.0 ORGANISASI KANDUNGAN

Modul Guru Program LINUS (Literasi) ini dihasilkan dalam bentuk unit. Terdapat sembilan unit bagi setiap unit mengandungi beberapa kemahiran yang diperkenalkan melalui tema-tema tertentu. Kemahiran yang diberi penekanan merangkumi kemahiran mencerakinkan perkataan kepada suku kata dan huruf, membaca, memahami, membina dan menulis perkataan, frasa dan juga ayat.

Pendekatan yang digunakan dalam program LINUS ini ialah pendekatan belajar membaca dan menulis secara bersepadu dan menyeluruh melalui tema. Hal ini bermakna murid belajar mengenal dan membina perkataan, frasa dan ayat secara berperingkat melalui tema yang dipilih. Pendekatan bertema ini diperkenalkan bagi membolehkan guru merancang pengajaran secara berfokus. Selain itu, murid juga dapat menguasai kosa kata secara terkawal melalui tema-tema yang diperkenalkan.

Setelah murid mengenal beberapa perkataan melalui tema, guru mula mengajar murid mencantum beberapa perkataan menjadi frasa atau rangkai kata dan seterusnya menggabungkan frasa menjadi ayat yang bermakna berdasarkan tema tersebut.

Beberapa konsep disarankan dalam pengajaran literasi seperti pendekatan literasi secara bersepadu, ansur maju, didik hibur, penggabungjalinan, pengulangan, pengajaran dan pembelajaran dalam kumpulan atau individu, membimbing murid dalam perkara yang belum dikuasai, memahami perkataan melalui konsep mencerakin dan memahami pola keseragaman ayat serta pengajaran mengikut keupayaan individu.

Konsep-konsep tersebut diserapkan dalam Modul Pengajaran Asas Literasi Tahun 2 bagi memudahkan guru melaksanakan pengajaran dan merancang aktiviti yang bersesuaian dengan kebolehan murid. 

Contoh Rancangan Pengajaran Harian Literasi

Mata Pelajaran : Bahasa Malaysia
Kelas              : Tahun 2 Bestari(Linus)
Tarikh             : 24 Januari 2012
Masa              :  8.30 - 9.30 pagi


Tema             : Makanan
Tajuk  : Membina dan menulis perkataan yang
               mengandungi suku kata terbuka kv + kv
Objektif : Murid berupaya membina dan menulis 
                    perkataan suku kata terbuka kv + kv
                    dengan betul.
Kemahiran : 2.1 membina dan menulis perkataan
                        yang mengandungi suku kata 
                        terbuka kv + kv.
BBM : kad suku kata, kad gambar, kad perkataan
             MS Powerpoint, VCD nyanyian suku kata.


Aktiviti :
1.Guru bersoaljawab dengan murid mengenai 
makanan.
2. Guru mengajak murid menyanyi lagu mengikut lirik ' Bangun Pagi ' yang telah diubahsuai.
3. Guru meminta murid menyebut nama makanan 
yang terdapat dalam lirik lagu.
4. Murid meneliti gambar yang dipamerkan dan meminta murid menyebut suku kata awal dan suku kata akhir gambar tersebut.
5. Ketua kumpulan tampil ke hadapan untuk mengambil kotak berisi kad suku kata dan bekerjasama dengan ahli kumpulan untuk mencantum kad-kad suku kata menjadi perkataan bermakna.
6. Murid menulis perkataan yang yang telah dibina pada kad manila dengan ejaan yang betul dan tulisan yang kemas seterusnya mempamer dihadapan kelas. Semua murid mengeja dan membaca perkataan yang ditulis oleh setiap kumpulan.
7. Guru mengedarkan lembaran kerja dan meminta murid melengkapkan suku kata menjadi perkataan dengan betul.
8. Murid yang menguasai kemahiran ini akan diberi aktiviti pengayaan. Manakala murid yang belum menguasai akan diberi aktiviti pemulihan.

Seni kata lagu yang telah diubahsuai mengikut lirik Lagu ' Bangun Pagi..'

  Tiap hari bangun pagi,
  Berus gigi dan mandi,
  Minum susu bukan kopi,
  sapu kaya makan roti.


      Ibu masak sayur sawi,
      Sambal tumis cili padi,
      Makan nasi dengan ibu,
      Buah ciku juga duku.

Contoh Lembaran kerja..

Lengkapkan suku kata di bawah menjadi perkataan bermakna.
    
     li      sa      ro      ku      su     na


1.  du ____              4.  ____ wi


2.  ci  ____              5.  ____ si


3.  su ____              6.  ____ ti 




Contoh lembaran kerja lain..


Padankan suku kata di bawah menjadi perkataan bermakna dan tulis semula.




   ci  .                  . ri  = _________                   


   no .                 . bu = _________


   mi .                 . ku = _________


   ce .                 . na = _________


   la .                  . lo = _________


   je .                  . li  = _________


*** Lembaran kerja boleh didapati dalam Modul Murid Asas Literasi Asas 2 Buku 1 dan 2 atau  terpulang kepada kreativiti guru. 


   

Ahmad Irzan ku sudah pandai baca..Alhamdulillah.. (Tahun 2 Bestari)

Permainan Cari jodoh

Cara-cara permainan


1. Pemain terdiri daripada 5 orang murid lelaki dan 5 murid perempuan.


2. Guru meletakkan 2 buah kotak di hadapan kelas. Kota A mengandungi gambar dan kota B mengandungi kad perkataan.


3. 5 orang murid perempuan akan mengambil gambar dari dalam kotak A dan menggantung gambar tersebut di leher mereka. Murid tersebut berbaris di hadapan kelas.


4. Apabila guru meniup wisel, murid lelaki akan memilih perkataan yang sesuai dengan gambar tadi di dalam kotak B. Setelah murid menjumpai perkataan yang betul, murid lelaki tadi menggantung perkataan di leher mereka dan berdiri di sebelah murid perempuan tadi.


5. Murid yang berjaya mencari pasangan gambar dan perkataan dengan betul akan diberikan penghargaan.

Permainan tiup belon

Cara-cara permainan

1. Pemain terdiri daripada 8 atau 10 orang murid lelaki dan murid perempuan.

2. Murid akan dibahagikan kepada 2 kumpulan. Setiap murid  akan diberi belon.

3. Murid kumpulan pertama akan meniup belon apabila wisel ditiup. Murid meniup belon sehingga pecah dan mengambil suku kata yang terdapat dalam belon lalu melekatkannya di papan putih mengikut kumpulan yang telah ditetapkan.

4. Seterusnya, murid kumpulan kedua pula akan meniup belon sebaik sahaja rakan mereka dari kumpulan pertama berjaya melekatkan suku kata di papan tulis.

5. Murid kumpulan kedua akan meniup belon hingga pecah dan mengambil suku kata yang terdapat dalam belon tersebut lalu memadankan dengan suku kata yang dilekat di papan tulis tadi supaya membentuk perkataan yang bermakna.

6. Murid yang berjaya memadan suku kata dengan betul akan diberikan penghargaan.

Bahan bacaan

Ibu
Ini ibu saya.
Ibu saya lawa.
Nama ibu saya Nora.
Ibu saya ada kaca mata.
Ibu saya guru Bahasa Melayu.